Saturday, August 4, 2007

PMRAM Yang Memboikot Atau PMRAM Yang Diboikot?

Jumaat, 06 April 2007

Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir menafikan pandangan yang mengatakan bahawa PMRAM memboikot Pasar Minggu Cairo dan Bazar Asean sehingga menyebabkan para ahli PMRAM keliru dengan pendirian PMRAM terhadap isu ‘Boikot’.

Isu 'Boikot' mula hangat diperbincangkan apabila usul untuk memboikot sekeras-kerasnya sebarang program yang dianjurkan oleh mana-mana pertubuhan yang boleh mengancam kesatuan para ahli PMRAM diterima secara majoriti dalam Muktamar Sanawi PMRAM baru-baru ini. Kesan daripada penerimaan majoriti para perwakilan Muktamar Sanawi telah menyebabkan tersebarnya desas-desus bahawa PMRAM memboikot Kedutaan Besar Malaysia, Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK), Pasar Minggu Cairo dan program Bazar Asean sehingga ada beberapa pihak yang terasa hati dengan PMRAM.

Ini merupakan satu salah anggap yang dilemparkan kepada Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir. Para ahli seharusnya berhati-hati dengan tindakan beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab yang cuba untuk mengeruhkan suasana dengan menyebarkan kabar angin yang tidak berasas dengan mendakwa PMRAM memboikot program pihak-pihak terbabit. PMRAM mengalu-alukan para ahli yang mengenali pihak yang beranggungjawab menyebarkan fitnah ini untuk tampil memberikan laporan kepada PMRAM untuk mereka diambil tindakan yang sewajarnya.

PMRAM hanya memboikot Kelab UMNO Mesir atas dasar PMRAM menolak mana-mana pertubuhan atau kelab yang bergerak dan berjuang atas dasar parti politik. PMRAM menolak dan memboikot Kelab UMNO bukan kerana PMRAM menolak perjuangan UMNO di Malaysia, tetapi PMRAM menolak Kelab UMNO Mesir kerana PMRAM menolak mana-mana kelab dan persatuan mahasiswa yang berunsurkan politik.

PMRAM tidak mempunyai sebarang kaitan dengan perjuangan parti politik di Malaysia. PMRAM bukan PAS, UMNO atau mana-mana gerakan politik. Ahli PMRAM berhak untuk menceburi dan memilih mana-mana parti politik setelah mereka pulang ke Malaysia berdasarkan kefahaman dan ilmu Islam yang ditimba semasa mereka belajar di Mesir.

Sekiranya ada di kalangan mahasiswa Mesir yang ingin menubuhkan Kelab Parti Keadilan Rakyat, Kelab PAS, Kelab MIC dan Kelab MCA contohnya di Mesir, PMRAM akan menolak sekeras-kerasnya pertubuhan-pertubuhan berunsurkan politik. Ini kerana PMRAM adalah persekutuan yang memperjuangkan kebajikan mahasiswa Islam di Mesir. Bagi PMRAM, ‘politik’ tidak akan mampu untuk menyatukan para mahasiswa di bumi Mesir kerana setiap individu mempunyai kecenderungan berbeza terhadap mana-mana parti politik.

Walaupun PMRAM tidak mengiktiraf dan memboikot segala program yang dianjurkan oleh Kelab UMNO Mesir, ini tidak bermakna bahawa PMRAM meminta para ahli untuk memboikot individu-individu pelajar yang menyertai Kelab UMNO Mesir. Para ahli PMRAM perlu menjalinkan hubungan persaudaraan Islam dengan mana-mana muslim tanpa perlu melihat latar belakang dan pegangan politik seseorang. PMRAM hanya memboikot Kelab UMNO Mesir. PMRAM tidak pernah memboikot ahli Kelab UMNO Mesir malah PMRAM menggesa para ahli untuk merapatkan silaturrahmi dengan semua pihak sebagaimana yang dituntut oleh Islam.

Persoalan yang perlu ditimbulkan di sini ialah ‘PMRAM Memboikot Atau PMRAM Yang Diboikot?’

Realiti yang berlaku di perlembahan Nil ini ialah PMRAM yang diboikot. PMRAM dinafikan haknya daripada mendapat pejabatnya di Asrama Rumah Melayu Abbasiah [ARMA) sedangkan tanah di ARMA adalah hasil susah payah dan perjuangan para ahli PMRAM dahulu yang telah sangggup menyumbang tenaga dan nyawa apabila seramai 65 orang ahli PMRAM telah bersedia untuk menjadi askar sukarelawan Mesir apabila Mesir diserang oleh 3 ketumbukan musuh, Israel, Inggeris dan Perancis pada tahun 1956.

Sehingga ke hari ini PMRAM terus tidak dibenarkan untuk berprogram di beberapa rumah negeri atas dasar PMRAM tidak berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia Kaherah sedangkan tidak ada satu undang-undangpun secara sah yang mewajibkan PMRAM untuk berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia Kaherah sebagaimana yang dinyatakan oleh Tuan Haji Hanifa Maidin, tokoh peguam di Malaysia.

PMRAM pernah diusahakan oleh pihak Duta Besar Malaysia Kaherah pada tahun 1995 untuk diharamkan oleh Kerajaan Mesir apabila pihak Duta Besar Malaysia Kaherah sendiri pada tahun tersebut meminta daripada Kerajaan Mesir untuk membatalkan pendaftaran PMRAM di bawah Kementerian Kemasyarakatan Mesir berdasarkan dokumen rasmi yang sehingga ke hari ini masih tersimpan dengan baik di dalam simpanan PMRAM.

Ahli PMRAM sehingga ke hari ini diancam oleh sebahagian Kerajaan Negeri dengan sekatan biasiswa dan zakat seandainya terlibat dengan PMRAM. Para mahasiswa dididik untuk menjadi mahasiswa yang takut untuk bersuara lantaran sekatan zakat dan bantuan pelajaran yang akan dijadikan sumber ugutan kepada para mahasiswa Islam di Mesir.

Sebahagian pegawai rumah negeri ada yang bertindak memaksa para mahasiswa untuk menyertai program yang dianjurkan oleh Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah. Seandainya para mahasiswa tidak menyertainya, mereka akan diancam dengan pelbagai ugutan.

Persoalannya kembali berulang: ‘PMRAM yang memboikot atau PMRAM yang diboikot?’ PMRAM sangat yakin para ahli dapat menjawab persoalan ini.

Disediakan oleh,
Abdul Muizz Bin Muhammad,
Ketua Badan Penerangan Dan Penerbitan PMRAM 2007.

p/s: petikan dr laman web Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir.

No comments: